SEMESTER 1 SESI 2010/2011
PPGPJJ SEMESTER 1 SESI 2012/2013
KPD 3026: PENGAJARAN, TEKNOLOGI DAN PENAKSIRAN
TAJUK
REFLEKSI
|
DISEDIAKAN
OLEH
NAMA
|
NO. MATRIK
|
NORAZIDAH BINTI MOHD ALI
|
D20112055490
|
PUSAT
PEMBELAJARAN: EL-A 23 (A121 PJJ)
NAMA TUTOR E-LEARNING: DR. ABD
KADIR ARIFIN
TARIKH SERAH: NOVEMBER
2012
Pendahuluan.
Dengan
nama Allah yang Maha pengasih lagi Maha penyayang, saya memanjatkan kesyukuran atas rahmat dan
kurnia-Nya, nikmat kesihatan yang tidak ternilai, dapat saya mengakhiri tugasan
mengajar dengan sempurna, semua dengan izin Nya.
Rakaman
pengajaran saya di bawah tajuk Ibadah tahun 4, iaitu bab bersuci daripada
najis. Sebelum saya melanjutkan catatan refleksi ini, saya ingin menyentuh
sepintas lalu tentang mutu rakaman pengajaran saya itu. Timbul perasaan tidak
puas hati tentang visualnya yang kabur kerana berlaku kesilapan teknikal oleh
rakan yang membantu saya dalam proses rakaman tersebut. Walau apapun, ucapan
terima kasih tak terhingga atas pertolongan itu. Semoga Allah jua yang
membalasnya.
Kekuatan.
Saya merupakan seorang guru agama yang
mengajar di salah sebuah sekolah pinggir bandar. Kelas 4 Gemilang itulah nama
kelas yang saya ajar semenjak perpindahan saya ke sekolah ini pada pertengahan tahun 2011. Rata-rata murid dalam
kelas tersebut berada pada tahap sederhana dan cemerlang pencapaian akademik
mereka. Tetapi bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, adalah menjadi satu
kelebihan bagi murid yang mengikuti kelas agama dan Fardhu Ain bagi sebelah
petang. Melalui pemerhatian dan analisis saya, Cuma terdapat dua(2) orang murid
yang agak ketinggalan dalam pencapaian akademik
dan mereka juga berada pada kelas kedua(B) pada tahun tiga dahulu.
Kelas
ini mempunyai jumlah murid seramai 29 orang iaitu 18 lelaki dan 11 perempuan.
Jadi jumlah murid lelaki adalah melebihi murid perempuan. Mereka adalah
anak-anak yang aktif, sukakan cabaran, kuat bercakap walaupun tentang perkara
yang kurang mendatangkan manfaat dan agak keras kepala. Murid perempuannya pula
adalah sebaliknya, dan ini membuka peluang seluas-luasnya kepada murid lelaki
untuk membuli dan menggamatkan suasana dalam kelas.
Tajuk
Pelajaran “Bersuci daripada Najis” ini saya mulakan dengan permainan bola beracun. Apabila muzik dibunyikan
bola ini akan beredar dari seorang kepada seorang murid sehinggalah muzik
dihentikan. Murid yang bertuah ini akan berdiri dan bersedia untuk mendengar
soalan daripada guru. Secara kebetulan pula, murid yang terlibat untuk menjawab
soalan saya ini adalah antara murid cemerlang dalam kelas. Jadi harapan saya
tinggi dan penuh yakin dia akan menjawab soalan saya dengan betul dan tepat.
Bagi saya, aktiviti permainan pada set
induksi ini memang menyeronokkan dan menceriakan awal pembelajaran di kelas
saya. Sementelahan pula sebelum ini saya amat jarang memilih aktiviti sebegini
setiap kali mula masuk mengajar.
Biasanya, pada pengajaran sebelum ini, saya hanya menggunakan cara soal
jawab keseluruh billik darjah kerana ia merupakan teknik yang paling ringkas
tanpa memerlukan banyak persediaan awal kerana saya boleh terus bertanya soalan
yang sesuai dengan maklumat yang ingin diketahui. Namun cara ini kurang menarik
perhatian murid dan adakalanya semangat murid untuk mengikui pembelajaran
seterusnya agak tergugat.
Berbalik kepada set induksi tadi
kelihatan murid-murid seronok dan ternanti-nanti apakah aktiviti seterusnya.
Saya dapat membuat perkaitan antara penyoalan saya dengan tajuk bersuci
daripada najis pada hari tersebut. Walau apapun mengenai soalan yang saya
kemukakan kepada murid yang terlibat dalam set induksi agak kurang berkesan.
Ternyata di sini saya kurang menguasai kemahiran menyoal dengan baik .
sebenarnya saya tidak menyangka bahawa murid cemerlang dalam kelas saya tidak
dapat menjawab soalan saya dengan tepat. Soalan saya ialah meminta murid
menyebutkan dua benda kotor yang terdapat di sekeliling murid. Jawapan yang
murid tersebut berikan ialah sampah.
Jawapan sebenarnya kalau di lihat
daripada soalan yang saya kemukakan jawapan murid tersebut adalah betul bahawa
sampah merupakan benda kotor. Saya seolah – olah hilang idea untuk bertanya
dengan lebih lanjut (probing). Sepatutnya saya kena lebih bersahaja dalam
memberikan galakan jika murid tidak boleh menjawab (promting), misalnya dengan
memberi klu atau mengolah semula soalan dalam bentuk yang lebih mudah difahami.
Walau apapun, akhirnya murid saya boleh menjawab dengan betul iaitu “tahi”
(najis merupakan jawapan yang betul).
Sudah tentu kaedah penyoalan ini patut
saya perbaiki dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan lagi professional
keguruan saya di masa akan dating. Ini adalah kerana, bagi saya kaedah
penyoalan yang betul amat membantu murid mencapai hasil pembelajaran yang
dihasratkan. Secara amnya, kajian menunjukkan pengajaran yang melibatkan penyoalan
adalah lebih berkesan daripada pengajaran tanpa penyoalan.(Bond, 2007)
Pada langkah seterusnya, saya memasuki
fasa perkembangan tajuk pengajaran. Dalam langkah ini, saya menggunakan
pertunjukkan slaid powerpoint bagi menerangkan erti najis, jenis-jenis najis
dan alat-alat untuk bersuci daripada najis. Ternyata, murid-murid kelihatan
tertarik dengan audio visual yang dipaparkan melalui skrin putih di makmal
komputer. Saya memberikan penerangan tentang konsep najis, alat-alat bersuci,
jenis-jenis najis serta hikmah bersuci daripada najis. Jenis penerangan yang
bersesuaian dengan tajuk pelajaran yang saya ajar ialah Interpretatif.
Penerangan interpretatif ini, saya menghuraikan maksud najis dan bersuci
daripada najis serta alat-alat yang digunakan untuk bersuci. Melalui tayangan
slaid powerpoint yang agak menarik saya memberikan penerangan dengan
menggunakan bahasa yang mudah dan sesuai dengan aras murid sekolah rendah. Ayat
yang terlalu panjang menimbulkan kekeliruan dan kekaburan kepada murid.Pada setiap
penerangan ini, saya akan menyelitkan soalan-soalan yang menguji sejauh mana
murid memahami penerangan saya. Di samping itu, saya membuka peluang kepada
murid untuk bertanya sebarang kekeliruan dan kemusykilan berkaitan dengan aspek
yang diajar.
Kelemahan.
Satu kelemahan yang dapat saya
kenalpasti dalam pembelajaran berbantukan IT ini ialah kurangnya penguasaan dan
kecekapan saya tentang cara mengoperasi peralatan komputer supaya PNP menjadi
lebih lancar. Saya mengambil masa yang agak lama untuk menukar program bagi
setiap langkah pembelajaran. Sebagai contoh dalam set induksi saya menggunakan
muzik nasyid intifadha dari youtube. Pada langkah kedua pula penggunaan slaid
powerpoint. Peralihan satu program kepada program yang lain memerlukan masa
kerana peralatan makmal selalunya diselenggara oleh juruteknik makmal. Guru
pula biasa menerima bantuan daripada mereka. Bagi mengatasi masalah ini, saya
akan membiasakan diri menggunakan pengajaran berbantukan komputer di masa akan
datang untuk lebih memahirkan dan meningkatkan kecekapan saya tentang
penggunaannya.
Selain itu, saya dapat mengenalpasti
satu lagi kelemahan iaitu adakalanya saya tidak berjaya mengekalkan tumpuan
murid-murid saya sepanjang pengajaran dan pembelajaran. Murid saya mula hilang
tumpuan biasanya pada langkah kedua dan ketiga pengajaran. Setelah membuat
penilaian semula saya dapat mencari punca, antaranya ialah intonasi suara.
Intonasi suara yang berbeza amat penting bagi menunjukkan penegasan terhadap
aspek yang ingin diajar. Saya mula sedar bahawa intonasi suara saya senada
sahaja serta kurang menarik perhatian dan minat murid untuk terus mengikuti
pengajaran saya dengan lebih fokus. Saya perlu memperbaiki intonasi suara
supaya mempunyai nada tinggi rendah yang bersesuaian . Ini memerlukan latihan
yang kerap dan saya perlu mendisiplinkan
dan mengingatkan diri saya sendiri mengenai masalah ini setiap kali
pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini menunjukkan penegasan terhadap
pengajaran saya pada masa itu. Saya pasti nada suara yang mempunyai intonasi
tinggi rendah yang sesuai akan mampu menarik perhatian murid.
Fasa seterusnya ialah cara-cara untuk
menyucikan ketiga-tiga jenis najis iaitu mukhaffafah, mutawassitah dan
mughallazah. Tayangan video menunjukkan cara menyucikan ketiga-tiga jenis najis
tersebut. Saya dapati murid-murid masih keliru dengan ketiga-tiga istilah
bahasa Arab tersebut. Mereka masih tidak dapat menyebut semua istilah tersebut
dengan betul dan fasih. Malahan ada yang masih keliru dengan makna ketiga-tiga
istilah tersebut. Apa yang perlu saya lakukan ialah melatih tubi murid menyebut ketiga – tiga
istilah tersebut sambil menterjemahkan maksudnya iaitu najis mukhaffafah (najis
ringan), najis mutawassitah (najis pertengahan), najis mughallazah (najis
berat). Di sini saya menggunakan kemahiran mengilustrasi dengan contoh. Contoh
yang saya gunakan ialah dengan menggunakan tayangan video yang dipaparkan
melalui skrin putih di makmal iaitu cara-cara menyucikan ketiga-tiganajis
tersebut. Murid-murid dilihat memberikan sepenuh perhatian terhadap tayangan
tersebut. Apabila tayangan video selesai saya mengajukan soalan kepada
murid-murid, namun masih ada yang keliru dengan cara-cara menyucikan najis. Saya boleh memperkukuhkan
lagi sub topik ini dengan melakukan tunjuk cara menyucikan najis kepada murid-
murid . Bagi memperkukuhkan ingatan murid tentang tajuk ini, aktiviti
berkumpulan bagi menunjukkan cara-cara menyucikan najis boleh dilakukan. Dengan
cara ini, murid-murid sendiri akan melakukan cara-cara menyucikan najis
tersebut. Pengalaman tersebut pasti akan lebih memberikan ingatan kepada murid
kerana mereka sendiri yang menjalani proses menyucikan ketiga-tiga jenis najis
tersebut.
Seterusnya, pernyataan hikmah yang
diperolehi apabila mengamalkan cara-cara menyucikan najis dengan betul.
Murid-murid tidak berapa faham konsep hikmah yang diperolehi. Ada segelintir
murd keliru dengan penyataan tersebut. Langkah mengatasinya ialah dengan
memberikan penerangan yang jelas dan memberikan contoh apa berlaku jika kita
sentiasa bersih daripaa najis? Ajukan juga persoalan apa yang kita dapat jika
kita dalam keadaan kotor atau tidak suci daripada najis? Saya rasa ini adalah
lebih jelas kepada murid-murid.
Kesimpulan.
Secara keseluruhannya saya berpuashati dengan pengajaran saya.
Namun saya akan sentiasa memperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah
dikenalpasti sepanjang pengajaran dan pembelajaran berlaku. Saya akan berusaha
mempertingkatkan tahap pengaaran saya supaya murid-murid saya lebih faham akan
apa yang saya ajar. Disamping itu, tugasan mengajar saya bukan setakat murid
memahami apa yang saya ajar, tetapi yang lebih jauh lagi dan paling bermakna
apabila murid mengamalkan apa yang saya ajar dan praktikkan dalam kehidupan
seharian mereka. Tiada yang lebih membahagiakan seorang pendidik melainkan
anak-anak yang dididik berjaya menjadi insan yang berguna kepada Agama, Bangsa
dan Negara.
No comments:
Post a Comment